Kundasang Sabah antara kawasan yang sering dilawati pelancong memandangkan kawasan ini yang agak sejuk dan cantik seolah-olah berada di luar negara yang beriklim sejuk. Banyak tempat menarik yang anda boleh lawati di sini. Tempat penginapan juga banyak dan kebanyakannya didirikan di kawasan yang cantik di kawasan bukit. Di sini juga terletaknya Taman Negara Kinabalu iaitu kaki bukit Gunung Kinabalu yang menjadi mercu tanda bagi Negeri Sabah. Berikut antara tempat dikunjungi:
1. Pasar Kraftangan Pekan Nabalu
2. Taman Negara Kinabalu
Taman Kinabalu merupakan sebuah taman negara yang telah diwartakan pada 2002. Taman Kinabalu dihiasi dengan Gunung Kinabalu yang tersergam dengan ketinggian 4,095 meter iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara. Taman Kinabalu ini juga menjadi pintu masuk bagi pendaki Gunung Kinabalu.
Taman tertua negeri Sabah ini menawarkan banyak aktiviti menarik bagi para pelawat, antaranya adalah berjalan menuju ke kawasan air terjun yang indah, memerhati burung, berbasikal, merentas hutan ataupun sekadar bersantai-santai bersama keluarga sambil menikmati kehijauan alam sekeliling di bawah pondok-pondok yang disediakan.
3. Kolam Air Panas Poring
Dalam cuaca yang sejuk di Kundasang Poring, memang sangat syok kalau dapat berendam dalam kolam air panas. Oleh sebab itu, jangan lepaskan peluang anda untuk singgah ke Kolam Air Panas Poring yang telah dibina oleh penjajah Jepun ini. Kolam Air Panas Poring bukanlah kolam air biasa, kolam air panas ini kaya dengan kandungan sulfur yang dikatakan baik untuk kesihatan dan dapat memberikan kesegaran badan serta melegakan sendi yang lenguh. Kawasan sekitar air panas ini cantic kerana dikelilingi dengan pohon-pohon bamboo.
Bukan setakat kolam air panas sahaja ada di sini, malah terdapat 2 buah kolam lain yang diairi dari air gunung. Ataupun sekiranya anda inginkan mandian yang lebih privasi bersama keluarga, anda boleh memilih untuk bermandian di kolam tertutup yang disediakan.
4. Gerai Sayur Tepi Jalan Kundasang
Antara tugu yang terkenal di Kundasang ini adalah arca ‘Sayur Picai Gergasi’ di persimpangan Mesilou. Dari arca itu sahaja sudah dapat gambaran sinonimnya tempat ini dengan sayur-sayuran. Maka tidak hairanlah jika gerai sayur di tepi Jalan Kundasang ini sering disinggahi penduduk tempatan mahupun pelancong.
Gerai sayur yang terletak di tepi jalan Pekan Kundasang sememangnya terkenal dengan sayur-sayuran yang cukup segar. Juga terdapat buah-buahan seperti strawberi dan buah markisah serta keropok yang dijual di sini. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan.
Anda boleh shopping sayur pada hari terakhir percutian anda di sini agar ia masih segar sekembalinya anda ke rumah nanti.
5. Homestay Di Pekan Kundasang
Terasa lemas dalam kehidupan yang bergerak terlalu pantas untuk mengejar keinginan materialistik yang tiada penghujungnya? Cuba berhenti seketika, tarik nafas dan relaks. Bayangkan sebuah dunia tanpa tekanan, dikelilingi oleh alam semula jadi yang penuh kesegaran, di sinilah di mana jiwa anda akan mendapat kebahagiaan yang sebenar.
Namun begitu, imaginasi bukanlah solusinya, jadikan ketenangan ini satu realiti dengan merancang sebuah percutian di dalam keindahan asli yang memukau. Di mana? Salah satunya terdapat di sebuah pekan kecil di Sabah iaitu Kundasang.
Di sini, anda dapat menikmati penginapan di antara gunung dalam suhu yang dingin, dikelilingi oleh pohon-pohon yang berbuah segar dan bunga-bungaan yang penuh warna-warni. Sejuk mata, sejuk hati, percutian di Kundasang adalah terapi yang dicari.
Kuasa kedamaiannya yang luar biasa menjadikan Kundasang cukup terkenal dalam kalangan warga kota yang mencari ketenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan