TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI
MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum
wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Saudara dan saudari yang saya kasihi
sekalian,
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan
saudari sihat wal áfiat.
1.
Susulan kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan
oleh Istana Negara berhubung Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa di negara
ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari sekalian pada pagi ini untuk
membuat beberapa penjelasan.
2.
Semalam saya telah diterima menghadap oleh
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk
mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri agar Seri Paduka Baginda mengeluarkan
Proklamasi Darurat menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan untuk
mengisytiharkan Darurat bagi seluruh Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Januari
2021 hingga 1 Ogos 2021 untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.
3.
Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan:
“Jika Yang
di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang
menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di
dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan
Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu
perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.
4.
Menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan,
ancaman terhadap kehidupan ekonomi
merupakan salah satu asas untuk sesuatu proklamasi darurat dibuat. Dalam
kes Stephen Kalong Ningkan lawan Kerajaan Malaysia, Majlis Privi menyatakan
dalam penghakimannya bahawa -
“An emergency to be
within that article (article 150(1) of the Federal Constitution) must be not
only grave but such as to threaten the security or the economic life of the
Federation or any part of it, the natural meaning of the word itself is capable
of covering a very wide range of situations and occurrences, including such
diverse events as was famines, earthquakes, floods, epidemics and the collapse
of the civil government.”.
5.
Dalam hal ini, memandangkan dunia pada masa ini
sedang berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang telah secara langsung
menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini, suatu
perisytiharan darurat boleh dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan perkara ini. Selain
peningkatan mendadak kes positif COVID-19, terdapat beberapa negeri di Malaysia
seperti Johor, Pahang dan Kelantan yang sedang mengalami bencana banjir yang
besar yang telah secara langsungnya turut menjadi ancaman besar terhadap
keselamatan dan kehidupan ekonomi rakyat.
6.
Seperti yang telah saya jelaskan semasa
mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semalam, kes jangkitan
COVID-19 semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam
masa terdekat. Oleh itu, Kerajaan perlu
mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan
lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan kepada rakyat tidak
lumpuh.
7.
Setelah mempertimbangkan nasihat Jemaah Menteri,
Seri Paduka Baginda telah berpuas hati bahawa adanya keperluan mengeluarkan
Proklamasi Darurat bagi membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B)
Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan
menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di
negara ini.
Saudara dan saudari yang saya kasihi
sekalian,
8.
Izinkan saya memberikan penjelasan lebih lanjut
mengenai bentuk darurat yang berkuatkuasa di negara ini. Ingin saya tegaskan
bahawa darurat yang diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera.
Perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan. Sebaliknya, sepanjang tempoh
darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi.
9.
Let me
assure you that the civilian
government will continue to function. The emergency proclaimed by the Yang
di-Pertuan Agong is not a military coup and curfew will not be enforced.
10.
Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri
dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan
Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa. Saya
memberi jaminan bahawa jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak akan terganggu dengan perisytiharan
darurat ini.
11.
Sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka
Baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu
baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh
memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.
12.
Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat
boleh dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
diPertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal
berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah,
bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk
penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19.
13.
Sehubungan itu, Kerajaan juga boleh mendapatkan
penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta
bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi Kerajaan
terutamanya hospital awam. Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi
daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset,
makmal ujian dan utiliti.
14.
Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah
Ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa
peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara
pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini.
15.
Suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk
memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia selain
kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis
Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang
penguatkuasaan lain yang berkaitan.
16.
Angkatan Tentera Malaysia juga akan
diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan
kesihatan awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang
berkaitan semasa pandemik ini. Selaras dengan Proklamasi Darurat ini, aspek
kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada
anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap PATI dan sesiapa
sahaja yang menceroboh sempadan negara.
17.
Selain itu, suatu Ordinan juga boleh
dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta ini dalam membendung
penularan COVID-19. Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas
sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak
COVID-19.
18.
Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi
sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam
masa pandemik juga boleh dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda. Tindakan
penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan
untuk tujuan ini.
19.
Semua ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan
dan boleh diketahui oleh rakyat.
Saudara dan saudari yang saya kasihi
sekalian,
20.
Dalam tempoh darurat ini juga, kuasa eksekutif
Persekutuan akan meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan negeri
kecuali bagi apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apaapa
perkara undang-undang atau adat anak negeri di Sabah atau Sarawak, agama,
kewarganegaraan dan bahasa, selaras dengan Fasal 6A Perkara 150 Perlembagaan
Persekutuan.
21.
Selain itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak
akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan
Agong.
22.
Sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa, Pilihan
Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan.
Dalam keadaan biasa, Pilihan Raya Kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari
selepas kerusi diisytiharkan kosong. Pilihan Raya Negeri juga mesti diadakan
dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Sedangkan kita
tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan Raya diadakan untuk mengelakkan
wabak COVID-19 merebak seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah
baru-baru ini.
23.
Untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat
secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah
suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih
berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi
Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih
awal dari tarikh yang ditetapkan.
Saudara dan saudari yang saya kasihi
sekalian,
24.
Mutakhir ini terdapat pihak-pihak yang mendesak
supaya pilihan raya diadakan. Saya tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan
raya. Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen
untuk membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan ialah pandemik COVID-19.
25.
Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya
semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada
lima prinsip Maqasid Syariah iaitu
menjaga nyawa atau hifz al-nafs.
Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk
menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada
jangkitan COVID-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh
agama Islam.
26.
Justeru, saya memberikan komitmen yang tegas
bahawa Pilihan Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas
yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih
sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan. Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan
mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan
saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan,
insya-Allah.
27.
Bagi saya, dalam keadaan negara dan rakyat
sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik
mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat. Bila
tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab.
28.
Saya juga memberi jaminan bahawa sepanjang
tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum
dan keadilan. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan
badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah. The judiciary will continue to be the beacon
of justice in our country and I will never interfere in the business of the
court.
29.
Aktiviti-aktiviti ekonomi juga akan terus
berfungsi tertakluk kepada SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan yang
berkuatkuasa. Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar
rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat
terus beroperasi seperti biasa.
30.
Kerajaan juga komited untuk memastikan
amalan-amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan
darurat. Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat
antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa
Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia
dan pemudahcara syarikat dan pasaran.
31.
To all the
stakeholders keenly monitoring what is happening in Malaysia, I emphasise that
Malaysia is open for business. In facing these challenging times, this Period
of Emergency will give us much needed calm and stability, as well as enable us
to focus on economic recovery and regeneration. We remain committed to good
governance in these times and we have a robust and dynamic regulatory
ecosystem. We must remember that the Government has a 6-stage strategy in place
for economic recovery since March last year and were incorporated in the Budget
2021. Continued stability will enable us to sustain and build upon the economic
recovery trajectory we have been working hard for since last year.
Saudara dan saudari yang saya kasihi
sekalian,
32.
Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya
kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada
kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan sepanjang
tempoh darurat dilaksanakan. Saya juga menyeru kepada semua ahli politik,
pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan agama, belia,
mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu
dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini. Yang penting, matlamat kita
hanyalah satu iaitu kita mesti menang dalam memerangi COVID-19.
33.
Marilah kita mengamalkan disiplin kendiri dengan
lebih ketat sepanjang tempoh PKP dan darurat yang berkuatkuasa ini.
Mudahmudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 dengan segera
dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang
sedang terbeban dengan peningkatan kes-kes positif COVID-19 saban hari.
34.
Saya memberi amaran keras, sesiapa yang cuba
mengganggugugat usaha Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi
negara akan diambil tindakan tegas demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan
negara.
35.
Saya juga berharap agar para alim-ulama’ dan
pemimpin agama dapat mendoakan kesejahteraan negara kita dan mudah-mudahan kita
semua dilindungi daripada sebarang bala bencana.
36.
Saya bagi pihak Kerajaan sekali lagi menjunjung
setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam
memperkenankan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan
Persekutuan bagi menangani pandemik COVID-19 dengan lebih berkesan.
37.
Saya berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Putera dan
Puteri Tuanku, seluruh kerabat duli Tuanku dan sekalian rakyat jelata terus
dilindungi oleh Allah SWT. Mudah-mudahan wabak COVID-19 yang sedang melanda
negara kita segera berakhir. Amin, Amin
Ya Rabbal Alamin.
Wabillahi al-taufiq
wal hidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI
MOHD YASSIN
12 Januari 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan