Pengenalan
Akuarium Tunku Abdul Rahman lebih dikenali Akuarium Batu Maung LKIM oleh warga tempatan, ialah sebuah pusat pameran hidupan aqua (marin) dan air tawar yang sangat menarik untuk dilawati. Ia bagaikan mini Aquaria atau mini Underwater World.
Tempat ini tidaklah besar sangat tetapi susun-aturnya cantik dengan rekaan dalaman yang kemas dan menarik. Ruang pamerannya agak selesa dan teratur.
Lokasi Akuarium
Lokasi Akuarium Batu Maung ini tidak jauh dari Jambatan Kedua Puau Pinang. Melalui Tun Dr. Lim Chong Eu Highway, keluar ke Jalan Batu Maung. Akuarium terletak disebelah kanan bertentangan dengan Pejabat Pos Batu Maung. Titik koordinat 5.285748,100.286172.
Info Awal
Tarikan di Akuarium Batu Maung ialah pameran hidupan marin dan air tawar yang terdiri daripada 100 spesis ikan marin, 27 tangki spesis ikan air tawar dan 10 spesis tumbuhan akuatik.
Pelbagai jenis ikan
Seronok melihat banyak spesis ikan berbagai warna dan saiz. Rekaan bentuk dalaman akuarium juga menarik sesuai dengan ikan berkenaan. Jika diteliti, ikan-ikan ini ada sifatnya yang tersendiri. Patutlah memerhatikan ikan adalah satu terapi. Ia memang pengalaman yang memberi ketenangan.
Penyu
Di Akuarium Batu Maung ini ada penyu tetapi tidak sempat pula bergambar sebab dok sibuk rambang mata tengok. Penyu ini terletak dalam 3 tangki akuarium . Ada dua ekor penyu yang agak besar dan dalam tangki bulat ada penyu kecil.
Hidupan Aqua
Sesuatu yang paling menarik bagi saya ialah hidupan aqua yang dipamerkan disini. Antara yang terbaik saya rasa ialah kuda laut dan tapak kaki sulaiman sebab ianya jarang dapat dilihat. Apa yang lawak anak saya kata: Kenapa Kuda laut takda kaki tapi ada sayap (sirip)?....
Kura-kura
Kura-kura terletak didalam kolamnya sendiri kat luar dibahagian Touch Pool bersama kolam ikan patin dan kerangka tulang ikan paus. Banyak kura-kura ada disini. Ia adalah peluang untuk menunjukkan perbezaan antara penyu dan kura-kura kepada anak-anak.
Kerangka tulang ikan paus
Dibahagian yang sama terdapat rangka spesis paus bryde sepanjang 40 kaki yang mati terdampar di Pulau Sayak, Pantai Merdeka Kedah pada 2013. Besar paus ini. Dikatakan pada masa hidupnya, berat paus ini ialah 600KG. Hampir sama berat dengan kereta produa axia (mini car).
Kemudahan prasarana dan fasiliti
Kemudahan asas seperti tandas dan surau juga disediakan. Tempat letak kenderaan seperti kereta, bas dan van percuma yang agak luas terletak berhampiran pintu masuk serta termasuk tempat Parking berbumbung untuk motorsikal disediakan.
Kedai cenderamata atau cenderahati
Kedai cenderamata atau cenderahati ini terletak dibahagian luar bersama cafeteria. Berbagai barangan dijual tetapi macam biasa, harganya agak mahal berbanding diluar.
Kedai Gambar
Kedai gambar terletak dibahagian Touch Pool. Tak pasti pula perkhidmatan bagaimana yang ditawarkan. Pengunjung yang berminat boleh buat pertanyaan lanjut.
Kesimpulan
Akuarium Tunku Abdul Rahman adalah salah satu tempat menarik di Pulau Pinang. Pengunjung boleh mengetahui berbagai ilmu dan pengetahuan di sini. Bayaran tiketnya juga cukup murah, iaitu RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak di bawah umur 12. Pelajar yang datang dalam rombongan sekolah bayar RM1.50 setiap seorang.
Tempat ini sesuai dikunjungi secara individu, keluarga dan juga rombongan. Akhir sekali, saya mengesyorkan Akuarium ini untuk dikunjungi pelancong di dalam dan luar Pulau Pinang.
2 ulasan:
Just nice..... Fun anda save
very nice, tq..
Catat Ulasan