Jumaat, 17 Jun 2022

REPLIKA ISTANA KESULTANAN MELAYU MELAKA (MEMORY 2022)

 

INFO: Muzium Istana Kesultanan Melaka

  • Lokasi: Bukit St Paul, Banda Hilir Melaka.
  • Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat
  • Harga lawatan:
  • Pemegang Mykad/Mykid - RM3 (dewasa) , RM2 (kanak-kanak)
    Pelawat asing - RM5 (dewasa) , RM2 (kanak-kanak)

  • Telefon: 06 2826526


  • SEJARAH REPLIKA ISTANA KESULTANAN MELAYU MELAKA

    Melaka sememangnya negeri yang kaya dengan kesan sejarah tanah air. Kini, tinggalan sejarah itu menjadi daya tarikan utama para pelancong berkunjung ke Melaka. Satu daripada kawasan penting di bandar Melaka adalah di sekitar Bukit St. Paul yang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Di sekitar bukit inilah terdapatnya bangunan Kota Famosa, bangunan Stadthuys dan kesan lain tinggalan Portugis dan Belanda. Selai itu, di atas Bukit St. Paul masih terdapat kesan tapak Istana Kesultanan Melayu Melaka.

            Istana yang dibina di atas Bukit St. Paul atau dulunya dikenali sebagai Bukit Melaka ini dipercayai Istana Sultan Mansor Syah. Istana tersebut amat indah seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang. Kesan sejarah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka juga terdapat di sekitar bandar Melaka seperti Perigi Raja, Makam Hang Tuah di Tanjung Keling serta Makam Hang Jebat dan Hang Kasturi. Perigi Raja misalnya digali atas perintah Sultan Mansur Syah untuk isterinya Puteri Hang Li Po dari negeri China. Perigi ini terletak di kaki Bukit Cina. Atas kesedaran tentang pentingnya kesan sejarah ini dipelihara maka kerajaan negeri Melaka telah mengambil daya usaha mencadangkan agar replika Istana Kesultanan Melayu Melaka didirikan dengan tujuan utamanya untuk membangunkan semangat dan kegemilangan zaman Empayar Melaka.

            Hasrat ini telah dicetuskan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Dato’ Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Sehubungan dengan itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di bawah Pengurus Besar, Encik Mohd. Zam Abd. Wahab telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan hasrat ini. Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, Muzium Melaka dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka telah dibentuk bagi mengkaji dan mengumpulkan maklumat untuk mereka bentuk istana ini. Persatuan Pelukis Melaka kemudiannya telah diberikan tugas menyediakan model replika istana ini dan beberapa pengubahsuaian dibuat berdasarkan pandangan Jawatankuasa Petugas Pelancongan. Model replika istana ini kemudiannya dipamerkan di pejabat muzium bagi mendapatkan pandangan orang ramai tentang reka bentuk model tersebut. Akhirnya, model ini telah diserahkan kepada Bahagian Kejuruteraan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka untuk tugas menyediakan pelan bangunan.

        Pembinaan bangunan istana ini bermula pada bulan Oktober 1984 dan siap menjelang pertengahan tahun 1986. Pembukaan rasmi istana ini telah dilangsungkan pada 17 Julai 1986 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Pembinaan replika Istana Kesultanan Melayu Melaka di atas tanah seluas 0.7 hektar ini menelan belanja sebanyak RM1.4 juta. Reka bentuknya mengetengahkan kehalusan seni ukiran corak bunga-bungaan dan tumbuhtumbuhan tempatan yang dapat dilihat pada ukiran pada dinding dan tiang istana. Selain sebagai replika Istana Kesultanan Melaka, replika ini berfungsi sebagai Muzium Budaya yang pertama seumpamanya di Malaysia

            Menurut Sejarah Melayu, Istana Kesultanan Melayu Melaka mempunyai 17 ruang yang panjang, iaitu tiap-tiap satunya mempunyai panjang 87.5 meter dan 40 pintu. Namun, bagi tujuan pembinaan replika ini, reka bentuknya dikecilkan sedikit untuk disesuaikan dengan keluasan tapak kawasannya. Ukuran sebenar istana replika ini ialah 67.2 meter panjang, 18.5 meter tinggi dan 12 meter lebar. Istana ini mempunyai bumbung bertingkat; bumbung yang pertama adalah yang terpanjang dan berukuran 75 meter panjang dan 12.5 meter lebar. Hujung setiap bumbung dibina melentik sedikit ke atas menyamai reka bentuk rumah Minangkabau. Istana ini ditegakkan oleh empat batang tiang seri di samping sokongan tiap-tiap yang lain.

        Pada bahagian hadapan istana, terdapat enam buah balai yang pada masa dahulu mempunyai kepentingan tersendiri. Peralatan, khususnya kayu yang digunakan untuk membina istana ini adalah daripada kayu tempatan seperti cengal, resak dan nyatoh, manakala atapnya diperbuat daripada kayu berlian dari Sarawak. Seperti pembinaan istana pada masa dahulu, istana ini didirikan tanpa menggunakan paku besi. Selain reka bentuknya menarik dan mempunyai pengaruh Minangkabau serta ukiran halus yang indah bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan, replika Istana Kesultanan Melayu Melaka ini juga memuatkan bahan pameran.

        Pada tingkat pertama, terdapat ruang pameran termasuk di balairong seri yang menggambarkan zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka seperti menghadap Sultan dan peraturan istana yang lain. Pada tingkat kedua pula dipamerkan tempat peraduan Sultan serta bilik-biliknya, manakala pada tingkat yang ketiga pula tempat simpanan segala khazanah. Pembinaan replika Istana Kesultanan Melayu Melaka ini bukan sahaja menambahkan binaan sejarah tanahair tetapi juga memperlihatkan masyarakat umum tentang sejarah negeri Melaka yang telah dibuka oleh orang Melayu sehingga pernah muncul sebagai sebuah pusat empayar yang terbesar di Asia Tenggara pada abad ke-15.

    Sumber: Arkib Negara Malaysia


    Keindahan kota Melaka memang tidak disangkal, berbekalkan tinggalan sejarah silam dengan peninggalan bandar kesan penjajahan, tempat itu yang kini diisytihar sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage).

    Pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2008, melonjakkan kewujudannya di mata dunia.

    Kemajuan Melaka dalam industri pelancongan moden disaksikan apabila wujudnya pelbagai tempat menarik seperti Menara Taming Sari selain aktiviti pengembaraan menerusi River Cruise.

    Di sebalik kemajuan itu, negeri itu membangun hasil kisah sejarah silam mengagumkan bermula beratus tahun lalu. Kehebatan sejarah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka tambah pula sejarah kepahlawanannya







    Mengikuti lawatan ke Melaka anjuran Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia dengan kerjasama JMM baru-baru ini, mendapati, antara muzium wajib kunjung iaitu Muzium Istana Kesultanan Melaka.

    Sebaik melangkah ke perkarangan pintu masuk, penulis terpegun melihat keunikan replika istana terletak di Bukit St Paul, Banda Hilir Melaka.

    Menariknya, walaupun sudah berusia 38 tahun, istana masih utuh kerana menggunakan 80 peratus kayu berkualiti antaranya cengal, resak dan kepingan ayu berlian di bahagian atapnya.

    Sebelum meneruskan penerokaan isi perut ‘istana’ lama itu, terlebih dulu kumpulan seni Persatuan Cahaya D'elima dari PERZIM menyambut tetamu dengan persembahan seni silat diselangi alunan muzik latar irama tradisional.

    Kurator Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) , Ruhaiza Zawawi, berkata muzium Istana Kesultanan Melaka dibina semula berdasarkan catatan sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan binaan Istana Melayu ketika zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456 hingga 1477







    Binaan semula bertujuan mempamerkan kepada umum suasana sebenar di dalam istana dengan menunjukkan ruang penting di dalamnya seperti Balairong Seri dan Bilik Beradu Diraja.

    Selain itu, muzium berkenaan mempamerkan balai yang melambangkan tamadun masyarakat Melayu serta ciri Adat Istiadat Raja-Raja Melayu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

    Balairong Seri terletak di sebelah kiri, pasti menjadi tarikan pengunjung, barisan patung menunjukkan kedudukan sebenar hiraki pembesar Melaka dengan jawatan ketika menghadap sultan.

    Muzium dua tingkat ini mempunyai banyak galeri menempatkan artifak sejarah ketika kegemilangan pemerintahan, antara lain muzium menceritakan tokoh pahlawan Melaka, budaya, urusan perdagangan dan sistem pentadbirannya.

    Selain itu, terdapat enam jenis replika kayu kecil memaparkan struktur binaan istana ikonik seperti Istana Menanti, Istana Maziah dan Istana Jahar sebagai tatapan generasi muda hari ini.







    Pendekatan dalam penyampaian maklumat menerusi koleksi galeri, potret lukisan dan diorama. Antara diorama sinonim dengan sejarah Melaka ialah pertikaman antara Hang Tuah dan Hang Jebat serta kisah Parameswara.

    Ruhaiza berkata, muzium menggunakan seni lukisan dan konsep diorama sebagai gambaran perjalanan kisah sejarah lama Kesultanan Melayu Melaka, terutama dari tahun 1400 sehingga kejatuhannya pada 1511.

    Biarpun dunia hebat menggunakan kecanggihan teknologi, namun pihak muzium mengekalkan konsep tradisional untuk mempamerkan sejarah. Kita tidak menampilkan konsep teknologi seperti hologram kerana kos perbelanjaan yang tinggi.

    Pameran di muzium ini masih memikat kehadiran pelancong terutama dari luar negara, apabila kita merekodkan kira-kira 300,000 pengunjung setahun.

    Lebih menarik dan menghiburkan pengunjung, muzium turut menyediakan aktiviti kepada pengunjung antaranya kuiz dan sesi bermain permainan tradisional antaranya congkak, baling tin dan capteh (timbang bulu ayam)
















    Tiada ulasan:

    PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

      Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...