Khamis, 9 Jun 2022

Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Terengganu

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA

4 JUN 2022 | 11.00 PAGI
KOMPLEKS SUKAN NEGERI TERENGGANU, KUALA NERUS, TERENGGANU DARUL IMAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat-Nya, kita dapat berhimpun bersama-sama dalam Majlis Aspirasi Keluarga Malaysia yang ke-4 selepas Johor, Perlis dan Sabah. Guane gamok orang kite? (Apa khabar orang kita). Semoga seluruh Keluarga Malaysia di Terengganu sentiasa sihat sejahtera hendaknya.

2. Konsep Keluarga Malaysia yang saya perkenalkan pada 22 Ogos 2021 bersifat inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum dengan menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

3. Konsep ini turut mengajak rakyat Malaysia untuk mengenepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara, bagi menggembleng tenaga dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang sebagai sebuah keluarga yang saling melengkapi antara satu sama lain.

4. Apabila kita semua mempunyai titik persamaan; ianya akan menyatupadukan rakyat dalam mencapai kesejahteraan ekonomi dan kestabilan politik.

5. Kesejahteraan dan kestabilan inilah yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita pada masa akan datang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Di negeri Terengganu, sejak telaga minyak yang pertama ditemui dan diusahakan di luar persisiran pantai awal tahun 80an, negeri ini melalui proses transformasi pembangunan yang pesat dengan pelaksanaan pelbagai jenis projek bernilai ribuan juta ringgit sehingga ke hari ini.

7. Industri minyak dan gas terutamanya di Kerteh dan Kemaman merupakan tunjang kepada ekonomi Terengganu yang bukan sahaja menarik ramai pelabur asing, malah meningkatkan peluang pekerjaan setempat.

8. Terkini, Terengganu terlibat dengan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer menghubungkan Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

9. Projek yang dijangka siap akhir tahun 2026, akan memendekkan masa perjalanan Keluarga Malaysia dari Lembah Klang ke Terengganu daripada tujuh jam kepada empat jam.

10. Projek ini juga akan merangsang pertumbuhan ekonomi Terengganu terutamanya dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kerana infrastruktur ECRL merangkumi 70 peratus perkhidmatan kargo yang memudahkan pengangkutan bahan binaan merentas negeri.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

11. Limpahan hasil pendapatan minyak telah membolehkan Terengganu membangunkan sektor-sektor lain termasuk sektor pelancongan yang disokong oleh keindahan alam semula jadi, selain populariti variasi makanan tradisi.

12. Melalui kempen ‘Beautiful Terengganu’, saya yakin sasaran menarik kedatangan tiga juta pelancong pada tahun ini dapat direalisasikan sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

13. Kerajaan turut mewartakan pintu masuk Pelabuhan Silica di Setiu yang kini menjadi laluan tambahan kemasukan para pelancong luar dalam usaha untuk merancakkan pembangunan di kawasan yang terlibat.

14. Keupayaan Terengganu mengekalkan khazanah laut dan kelestarian alam sekitar membolehkan namanya tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Tahniah dan syabas saya ucapkan dan semoga usaha ini diteruskan dalam merancakkan sektor pelancongan supaya Keluarga Malaysia turut menikmati hasil manfaatnya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Kerajaan Negeri Terengganu dan PERKESO di bawah Kementerian Sumber Manusia telah bekerjasama untuk memperkasakan akses peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu melalui 38 Pusat Pintar yang menyasarkan 1,000 penempatan pekerjaan.

16. Alhamdulillah, kita telah berjaya melepasi sasaran ini dengan 1,351 tawaran pekerjaan sejak ia dilaksanakan pada Disember 2021 sehingga April tahun ini, dengan PERKESO yang berperanan sebagai Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT).

17. Malah, pada hari ini, melalui Program Jamin Kerja di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu, sebanyak 13,431 peluang pekerjaan turut ditawarkan melalui 89 majikan.

18. Ini sekali gus membolehkan Keluarga Malaysia di negeri ini dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai.

19. Selain itu, Kerajaan juga cakna tentang kebajikan pekerja yang hilang upaya untuk kembali bekerja. Mereka ditawarkan bantuan alat pemulihan supaya dapat melaksanakan pekerjaan dengan sebaiknya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Terengganu sering berdepan musim tengkujuh yang mengakibatkan kerosakan kepada keindahan landskap terutamanya kawasan pantai akibat hakisan.

21. Kerajaan maklum tentang kerosakan benteng pemecah ombak yang membawa kepada berlakunya pemendapan pasir sekali gus mencetekkan laluan bot ke jeti Pelabuhan Chendering, Marang dan menyukarkan proses pendaratan ikan.

22. Sehubungan itu, sejumlah RM343 juta diperuntukkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di daerah Setiu, Kemaman, Dungun dan Marang yang dijangka selesai pada bulan Januari 2025.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Kerajaan menyedari pentingnya pendidikan kepada masa depan keluarga Malaysia, dan peruntukan sebanyak RM5.034 bilion disediakan bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Malaysia bawah Rolling Plan Ke-2 RMKe-12 Tahun 2022.

24. Bagi Terengganu, terdapat 79 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos keseluruhan RM914.79 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak 42 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 19 projek berstatus pra bina.

25. Bagi projek menaik taraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif, sebanyak 26 projek telah diluluskan dalam tempoh 2017-2022 dengan kos sebanyak RM60.93 juta. Sebanyak 21 projek telah siap manakala baki sebanyak lima projek dalam peringkat pra bina.

26. Di bidang kesihatan pula, projek Hospital Dungun dengan kapasiti 110 buah katil lengkap dengan peralatan perubatan dan projek High Dependency Ward Hospital di Besut merangkumi lima katil terbuka, sebuah katil bilik isolasi dan enam zon utama dijangka siap dibina pada tahun ini.

27. Lima lagi projek dijangka siap tahun depan melibatkan pembinaan Hospital Kemaman setinggi sembilan tingkat dengan kapasiti 300 katil, klinik kesihatan di Kampung Raja, Besut, kerja-kerja menaik taraf dan penggantian sistem lif di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Klinik Kesihatan di Rhu Sepuluh, Setiu, dan pembinaan Klinik Kesihatan di Paya Datu, Kuala Terengganu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Kerajaan menyambut baik inisiatif membangunkan kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan berasaskan sumber alternatif iaitu sisa isirung kelapa sawit bernilai kira- kira RM20 juta, yang bakal beroperasi di Bukit Kor, Marang, hujung tahun ini.

29. Cadangan ini dijangka mampu memenuhi 80 peratus permintaan daripada penternak haiwan di Terengganu, sekali gus dapat memastikan kelangsungan sumber makanan negara selain mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah yang diimport.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

30. Saya berharap Keluarga Malaysia dapat memanfaatkan peluang-peluang yang ada sepanjang penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di negeri ini.

31. Terima kasih diucapkan kepada warga Terengganu atas sambutan yang menggalakkan serta komitmen padu yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri.

32. Akhir kata, saya berharap aspek Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dalam masyarakat majmuk Keluarga Malaysia ini terus diamalkan tanpa mengira sentimen agama dan bangsa.

33. Ibarat kata pujangga “Keluarga tak selalu bererti saudara sedarah, tetapi sering kali merupakan gambaran dari suatu komuniti, organisasi atau bangsa”.

34. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Terengganu.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...