Khamis, 9 Jun 2022

Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tahun 2022 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI TAHUN 2022 KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA
BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI

6 JUN 2022 (ISNIN) I 9.55 PAGI ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa bihi Nastai’n,

Segala puji milik Allah SWT dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat baginda.

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

1. Dengan hormat dan penuh takzimnya, patik bagi pihak Kerajaan, Perkhidmatan Awam dan sekalian rakyat jelata mengucapkan, setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku, Tahun 2022 pada hari ini.

2. Patik, Kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia sekalian berdoa ke hadrat Ilahi, semoga Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, serta keluarga sentiasa dilimpahi rahmat, hidayah serta inayah-Nya, juga beroleh ‘afiah dan penuh kedaulatan.

3. Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia-Nya jua, negara telah berjaya memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dengan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April 2022.

4. Mulai 1 Mei 2022, pelbagai kelonggaran telah diperkenalkan, bagi mengembalikan kehidupan dan meningkatkan semula semangat rakyat.

5. Pada masa yang sama, Kerajaan Tuanku melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi semasa jangkitan COVID-19 dan bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk memastikan kestabilan kesihatan awam, berada pada tahap yang memuaskan serta berfungsi dengan baik.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

6. Usaha Kerajaan Tuanku untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik semakin berhasil dan berada pada momentum terbaik. Terkini, ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

7. Bagi tahun ini, Kerajaan Tuanku bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuhan di antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus, sebagaimana yang diunjurkan.

8. Pembukaan sempadan juga telah merancakkan usaha pemulihan ekonomi, khususnya sektor pelancongan dengan peningkatan kemasukan pelancong asing.

9. Seramai dua juta pelancong asing dijangka mengunjungi Malaysia pada tahun ini, yang akan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara.

10. Kerajaan Tuanku, kekal komited untuk melonjakkan prestasi perdagangan dan pelaburan negara, termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.

11. Bagi mencapai matlamat itu, Kerajaan Tuanku akan terus memastikan urusan para pemain industri dipermudahkan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan.

12. Langkah-langkah yang diambil ini, mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal teguh.

13. Sebagai contoh, sepanjang suku pertama tahun 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion, berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu.

14. Jumlah perdagangan luar, berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion, manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

15. Mutakhir ini, dunia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman, antaranya ketidaktentuan global akibat ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia. Kemelut yang berlaku ini telah memberi dampak kepada dunia dan Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya.

16. Krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik dan kini konflik Rusia-Ukraine telah mengakibatkan Malaysia, rantau Asia, juga rantau lain di dunia mendapat bahananya.

17. Rantaian bekalan global yang terjejas akibat fenomena ini, telah menyebabkan harga bahan makanan dunia meningkat melebihi 30 peratus dan kesan ini turut dirasai di negara kita.

18. Sehubungan itu, Kerajaan Tuanku mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini, khususnya isu bekalan makanan dan kenaikan harga bahan makanan yang pastinya akan menjejaskan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

19. Bagi menangani masalah ini, Kerajaan Tuanku telah pun mengumumkan beberapa tindakan jangka pendek seperti;

● Membatalkan kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara serta merta.

● Menyekat pengeksportan ayam ke luar negara.

● Memperkenalkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamanya golongan B40 mulai 1 Julai ini.

● Mewujudkan Tabung Agromakanan dengan dana berjumlah RM500 juta melalui pemberian pinjaman mudah kepada pemain-pemain industri agromakanan.

● Mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

20. Lima langkah jangka pendek ini merupakan pendekatan Kerajaan Tuanku dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan, selain pelbagai subsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.

21. Langkah jangka pendek ini disusuli dengan beberapa langkah jangka masa sederhana dan jangka masa panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

22. Bagi memastikan setiap Keluarga Malaysia tidak tercicir dalam arus pembangunan negara, Kerajaan Tuanku sentiasa menambah baik program agenda perlindungan sosial di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

23. Kerajaan Tuanku telah melaksanakan fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia pada bulan lepas, melibatkan 80 lokaliti bandar, luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli bagi membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

24. Kehidupan rakyat miskin dan berpendapatan rendah terus dibela, supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang selesa.

25. Beberapa siri lawatan patik ke luar negara baru-baru ini, jelas membuktikan jalinan kerjasama yang baik serta hubungan diplomatik yang kukuh di antara Malaysia dengan negara- negara luar.

26. Malaysia akan terus menyuarakan pendirian dalam menjaga kepentingan dan kedaulatan negara serta membawa suara keamanan sejagat di arena antarabangsa.

27. Kerajaan Tuanku juga, akan terus bekerja dalam semangat keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran sebagai Keluarga Malaysia yang merentasi fahaman politik dan ideologi demi kesejahteraan semua.

28. Segala cabaran akan terus didepani bersama secara kolektif, dengan mencari titik persamaan dan mengenepikan perbezaan.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

29. Pada hari yang penuh bahagia ini, sekali lagi patik bagi pihak Kerajaan Tuanku dan seluruh Keluarga Malaysia dengan segala hormat dan takzimnya, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku Tahun 2022 pada hari ini.

30. Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Raja Permaisuri Agong dan seluruh ahli keluarga sentiasa dikurniakan Allah SWT kesihatan, dilanjutkan usia dan dianugerahkan dengan setinggi-tinggi kemuliaan.

31. Tuanku payung kepada rakyat dan patik serta sekalian rakyat tumpang berteduh. Semoga Tuanku berdua terus bersemayam di atas singgahsana dengan kedaulatan, dengan segala kehormatan serta kebesaran dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT jua.

Daulat Tuanku,

Daulat Tuanku,

Daulat Tuanku,

Demikianlah persembahan ucapan patik dan patik sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...