Khamis, 9 Jun 2022

Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA

5 JUN 2022 | 10.00 PAGI TAMAN TUGU
KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdullilah, saya bersyukur kepada hadrat Allah SWT kerana diberikan peluang untuk bersama-sama Keluarga Malaysia bagi pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Taman Tugu, pada pagi ini.

2. Dalam kesibukan menjalani rutin harian, kita perlu mengambil berat terhadap persekitaran yang ada. Seperti di Taman Tugu ini, kita dapat melihat rimbunan kehijauan yang menyejukkan mata, satu anugerah yang tidak ternilai daripada Ilahi.

3. Hari Alam Sekitar Sedunia (World Environment Day) merupakan sambutan peringkat global anjuran Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu ( PBB) yang bertujuan mempertingkatkan tindakan dan penglibatan terhadap perubahan iklim.

4. Sambutan tahunan kita kali ini bertemakan ‘Hanya Ada Satu Bumi’ atau ‘Only One Earth’ sempena ulang tahun ke-50 penganjuran persidangan pertama PBB tentang alam sekitar.

5. Projek Taman Tugu merupakan suatu inisiatif tanggungjawab korporat yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), organisasi sektor awam dan swasta serta organisasi masyarakat sivil.

6. Pelaksanaannya bertujuan mewujudkan sebuah taman hutan hujan dalam bandar yang mampan selain menjadi simbol komitmen semua pihak untuk menjaga dan melindungi khazanah warisan alam.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Dunia kini berdepan dengan pelbagai cabaran akibat perubahan iklim, pastinya komitmen dan kerjasama serantau serta antarabangsa diperlukan bagi menanganinya.

8. Ketika berucap pada Persidangan Nikkei di Jepun baru- baru ini, saya menyatakan komitmen Malaysia memenuhi visinya bagi mencapai tahap karbon sifar (neutral) menjelang tahun 2050 termasuk menggubal undang- undang berkaitan perubahan iklim.

9. Selain itu, Malaysia akan bekerjasama dengan negara- negara di rantau Asia yang berkongsi visi tersebut menerusi “Asia Zero Emission Community”.

10. Visi ini selari dengan komitmen kita semasa Persidangan Perubahan Iklim 21 (Climate Change Conference 21) di Paris, Perancis pada tahun 2015 bertujuan membendung pemanasan global dengan mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini di bawah dua darjah celcius.

11. Bagi menyokong visi dan komitmen alam sekitar tersebut, Malaysia juga meletakkan sasaran jangka panjang, antaranya:

Pertama, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31 peratus menjelang tahun 2025 dan 40 peratus menjelang tahun 2035;

Kedua, mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan negara; dan

Ketiga, melaksanakan kaedah natural-based solution seperti menanam 100 juta batang pokok dan meningkatkan kadar kitaran semula kepada 40 peratus menjelang tahun 2025.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Perubahan iklim kini dirasai di setiap negara dan benua, antaranya keadaan cuaca berubah-ubah secara melampau, kenaikan paras air laut serta berlaku bencana alam. Semua ini bukti jelas yang semakin membimbangkan.

13. Di Malaysia, banjir yang melanda pada tahun lepas telah meragut banyak nyawa dan mengakibatkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion melibatkan antaranya kemusnahan tempat tinggal, premis perniagaan, aset dan infrastruktur awam.

14. Bagi mengelak daripada berulang, Kerajaan telah memulakan pelan tindakan dan mitigasi yang bersifat proaktif, strategik untuk jangka masa pendek dan panjang. Saya tidak mahu menjadi ‘sudah terhantuk baru tengadah’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Saya juga menghargai daya usaha masyarakat setempat yang bertindak memajukan sendiri persekitaran mereka agar menjadi lebih hijau dan lestari.

16. Sebagai contoh, Projek Komuniti Kebun-Kebun Bangsar dan Kebun-Kebun Kerinchi di Kuala Lumpur ini. Menariknya, kebun sayur-sayuran ini diusahakan oleh komuniti setempat menggunakan dana mereka sendiri untuk mendidik dan menggalakkan penglibatan orang ramai dengan hasil tanamannya, turut dikongsi dengan golongan kurang berkemampuan.

17. Konsep ‘empowering the community’ inilah yang ingin saya perluaskan bagi merealisasi agenda hijau negara. Justeru itu, saya mahu agensi Kerajaan berkaitan turut membantu terutamanya memudahkan urusan serta memberi bantuan yang diperlukan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Komitmen kita untuk mengatasi cabaran perubahan sejagat sudah pasti perlu disambut melalui pelan dan dasar negara.

19. Menerusi Strategi Rancangan Malaysia ke-12, kita menyasarkan mencapai ‘Negara Sifar Karbon’ menerusi pembangunan di sektor tenaga, pengangkutan, industri pemprosesan dan penggunaan produk, pengurusan sisa, pertanian, dan penebusan semula guna tanah.

20. Usaha ini juga diselaraskan dengan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia ke arah menjadikan Malaysia Lestari 2030 yang berteraskan pengukuhan tadbir urus, p e r t u m b u h a n h i j a u , k o l a b o r a s i s t r a t e g i k d a n keterangkuman sosial.

21. Dari sudut ekonomi pula, Bursa Malaysia di bawah Bajet 2022 akan mewujudkan Voluntary Carbon Market pada tahun ini; dan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik juga disediakan bagi merancakkan agenda ekonomi hijau di Malaysia.

22. Selain itu, agenda hijau juga perlu disemai di peringkat pentadbiran kerajaan tempatan dengan mencontohi DBKL yang mengumumkan aspirasi Kuala Lumpur sebagai bandar raya Net Zero Carbon menjelang tahun 2050.

23. Komitmen negara menerusi pelaburan sifar atau rendah karbon dan teknologi hijau, diharap dapat menarik pelabur- pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi hab pelaburan hijau.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Pelan dan dasar Kerajaan yang saya nyatakan tadi turut digembleng bersama-sama dengan sektor korporat dan Syarikat-Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs) di bawah Rangka Kerja dan Sasaran Kemampanan Perniagaan berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Antaranya:

i. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja – sasaran portfolio pelaburan full ESG compliant menjelang tahun 2030 dan pelepasan GHG sifar pada tahun 2050; dan

ii. Permodalan Nasional Berhad – sasaran peruntukan modal baharu berjumlah RM10 bilion untuk pelaburan aset hijau menjelang tahun 2030.

25. Tidak lama lagi Khazanah Nasional akan mengumumkan rangka kerja dan sasaran kemampanannya yang bakal menjadi penanda aras komitmen dan sasaran syarikat- syarikat di bawahnya.

26. Saya mahu semua syarikat pelaburan di bawah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menyelaras pelan tindakan dan sasaran kelestarian mereka diikuti dengan pemantauan dan laporan lebih terangkum.

27. Menerusi pentadbiran secara bersama Kementerian Kewangan dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG Trust Fund) diwujudkan dengan peruntukan RM20 juta sebagai dana permulaan bagi menyokong program Kerajaan berorientasikan Matlamat Pembangunan Lestari di seluruh negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Kerajaan telah memberikan mandat kepada Amanah Warisan Negara (AWAN), sebuah badan Pemegang Amanah Taman Tugu untuk memelihara, memulihara, mengurus dan mengoperasi Taman Tugu ini bagi pihak awam.

29. Saya difahamkan, tapak hutan sekunder Taman Tugu yang sebelum ini dijadikan tempat pembuangan sampah haram; telah dikunjungi lebih 500 ribu pelawat setelah dilakukan proses pemuliharaan dan dibuka bagi kunjungan ramai pada 2018.

30. Taman Tugu ini mempunyai laluan-laluan denai hutan sejauh enam kilometer, ruangan riadah dan kemudahan awam untuk kegunaan pengunjung, serta terdapat beberapa spesies pohon tempatan seperti jelutong, tembusu, pulai dan gaharu.

31. Alhamdulillah, dengan negara kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik, saya percaya lebih ramai pengunjung akan melawati Taman Tugu untuk menikmati keindahan alam sekitarnya

32. Dengan hasrat itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Sambutan Hari Alam Sekitar 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...