Khamis, 16 Jun 2022

Sempena Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN TILAWAH DAN HAFAZAN
AL-QURAN TAHUN 1443 H/2022

12 JUN 2022 | AHAD | 9.00 MALAM DEWAN BESAR PUSAT ISLAM ISKANDAR, JOHOR BAHRU, JOHOR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, maka kita dapat berhimpun di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar ini dalam majlis perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK), bagi Tahun 2022.

2. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, pembawa rahmat kepada sekalian alam, seterusnya kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

3. Alhamdulillah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dapat dilangsungkan pada tahun ini, dengan negeri Johor Darul Takzim dipilih menjadi tuan rumah.

4. Semoga majlis ini memberi impak besar kepada segenap lapisan masyarakat, khususnya umat Islam terutama dalam meningkatkan kesedaran mendampingi al-Quran dan melebarkan syiar Islam di negara ini.

5. Melalui majlis ini, al-Quran bukan sekadar diperdengarkan dengan bacaan yang indah dan merdu, tetapi lebih penting penghayatan terhadap bait-bait ayat, yang perlu dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan seharian.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Sebagai rakyat Malaysia, kita bersyukur kerana dapat mengamalkan cara hidup berteraskan prinsip dan acuan al- Quran dengan bebas, aman dan harmoni seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

7. Ia memperuntukkan Islam ialah agama bagi Persekutuan; namun pada masa yang sama, agama-agama lain juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

8. Sebagai bukti, penganjuran majlis ini dapat diadakan saban tahun dan ditunggu-tunggu kerana menjadi wadah dalam membangunkan masyarakat Islam yang bermanhaj Rabbani.

9. Ia juga bersesuaian dengan konsep Tasamuh yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

10. Tasamuh adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud ‘toleransi ’atau ‘berlapang dada’. Dalam maksud yang lain adalah bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi. Misalnya toleransi dalam agama ialah sikap saling menghormati hak dan kewajipan antara agama.

11. Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap Tasamuh dalam bermasyarakat.

12. Tasamuh adalah istilah yang terkait dengan akhlak terpuji. Dalam Islam, ada banyak sikap dan perbuatan baik yang harus diterapkan dalam hidup.

13. Bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya yang majmuk seperti Malaysia, sikap toleransi atau tasamuh sangat penting sebagai alat menyatupadukan kita semua.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Islam adalah agama yang sangat menghargai perbezaan di dalam batasan tertentu. Nabi Muhammad SAW telah memberikan contoh dalam hal Tasamuh ini.

15. Sejarah Madinah membuktikan bahawa Baginda berjaya mengurus masyarakat majmuk sehingga membawa kehidupan yang harmonis dan kekuatan kepada Madinah, bandar penuh keberkatan.

16. Dalam realiti Keluarga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, sudah pasti kepelbagaian budaya dan adat resam menjadi satu keunikan yang perlu diraikan, sekali gus mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.

17. Mana-mana budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi.

18. Tasamuh adalah asas utama dalam menghadapi keragaman dan perbezaan bangsa dan agama lebih-lebih lagi dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama, budaya serta bahasanya.

19. Oleh itu, dalam apa juga perkara, konsep Tasamuh dalam bermasyarakat harus menjadi perkara utama kepada Keluarga Malaysia untuk bergerak ke hadapan sejajar dengan peredaran masa kini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Bersesuaian dengan tema Majlis Tilawah dan Hafazan al- Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini iaitu Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti, ia menjadi titik tolak bagi melahirkan generasi yang berpegang kepada al-Quran dan as- Sunnah untuk membentuk sebuah negara yang harmoni.

21. Mempelajari al-Quran merupakan satu kewajipan. Ia bukan setakat mempelajari cara membaca dan hukum tajwid semata- mata, malah amat rugi jika kita tidak mempelajari dan memahami maksud yang terkandung dalam setiap 114 surahnya.

22. Ini kerana kitab suci ini adalah mukjizat yang mengandungi pelbagai ilmu yang boleh dijadikan sebagai panduan hidup sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Al Isra’, ayat 9:

“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk yang amat betul dan memberikan berita yang menggembirakan orang- orang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Dalam kita menjalani rutin seharian di zaman serba mencabar ini, kekuatan fizikal dan spiritual perlulah seimbang.

24. Sebagaimana jasad fizikal kita memerlukan makanan untuk terus hidup, rohani kita juga perlu diisi dengan sentiasa mengingati Allah SWT melalui pembacaan ayat-ayat suci al- Quran bagi memastikan akal, minda dan jiwa kita terus kekal sihat.

25. Dengan kecanggihan kemajuan teknologi, tiada alasan lagi untuk kita tidak meluangkan masa mendengar atau membaca al-Quran.

26. Ini kerana terdapat aplikasi al-Quran digital yang boleh dimuat naik dalam peranti seperti telefon pintar, tablet atau komputer riba.

27. Ia dapat didengar pada bila-bila masa dan di mana jua kita berada. Sebagai contoh dalam perjalanan ke sekolah dan pejabat, semasa mengharungi kesesakan lalu lintas dan juga di waktu senggang kita.

28. Maka, peluang keemasan seperti ini perlu diambil oleh seluruh umat Islam dalam mempertingkatkan amal ibadah kepada Allah SWT.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Kerajaan Negeri Johor dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis ini.

30. Semoga ia dapat menjadi medium bagi menambahkan lagi ketaqwaan kita terhadap Allah SWT menerusi alunan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan.

31. Sesungguhnya, Allah SWT telah menyatakan dengan tegas bahawa al-Quran itu adalah pedoman untuk seluruh umat manusia bagi mencapai kejayaan di dunia mahu pun di akhirat.

32. Dengan hasrat tersebut, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1443 Hijrah /2022.

Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufiq walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...