Khamis, 9 Jun 2022

Sempena Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2022
KALI KE-39

4 JUN 2022 | 8.30 MALAM PUSAT DAGANGAN DUNIA KUALA LUMPUR (WTCKL)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin- Nya kita dapat berkumpul bersama-sama pada malam ini sempena Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun 2022.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) selaku penganjur utama, dan seluruh tenaga kerja yang terlibat dalam menjayakan PBAKL pada tahun ini.

3. Penganjuran PBAKL merupakan usaha berterusan yang dilakukan penggiat-penggiat industri buku bagi mengukuhkan budaya membaca dan memperkasakan industri tersebut.

4. Selepas penganjurannya secara fizikal atau bersemuka tertangguh pada bulan Februari lalu akibat pandemik COVID-19, saya percaya pastinya ramai yang menanti- nantikannya terutamanya Keluarga Malaysia yang sentiasa dahagakan ilmu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. ‘Buku adalah jendela kehidupan’. Kalimat ini merupakan antara banyak lagi ungkapan yang kerap kita dengar. Dengan buku, ilmunya boleh mengubah dunia, betapa ia menggambarkan pentingnya budaya membaca.

6. Bagi umat Islam, membaca merupakan perkara yang diutamakan, malah perkataan ‘Iqra’ (bermaksud ‘bacalah’) merupakan perintah yang menjadi wahyu al-Quran pertama dalam risalah nubuwwah (kenabian).

7. Perintah ini bukan sekadar merujuk kepada membaca kitab suci semata-mata tetapi juga kewajipan menerokai gedung ilmu. Justeru, membaca sebenarnya perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.

8. Lagipun, bukankah al-Quran itu sendiri merupakan sumber pelbagai ilmu seperti sains ketuhanan, sosial sains, sains natural dan ilmu kerohanian?

9. Selain itu, membaca buku turut berupaya membentuk pemikiran lebih ilmiah dan saintifik, sekali gus membangkitkan tradisi keilmuan seperti mana ketika zaman kegemilangan Islam.

10. Menurut penulis dan juga ulama terkenal di Nusantara ini, buya HAMKA atau nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah: “Membaca buku-buku yang baik juga ibarat memberi makanan rohani yang baik.”

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Sebenarnya bangsa yang berjaya adalah mereka yang membaca. Oleh itu, dalam usaha memandaikan bangsa, budaya membaca harus dipupuk secara berterusan.

12. Pembangunan sesebuah negara turut bergantung kepada rakyatnya yang berpengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing. Ilmu pengetahuan dapat diperoleh melalui amalan membaca.

13. Kita boleh mencontohi masyarakat Jepun yang terkenal dengan sikap mereka yang suka membaca. Budaya membaca ini menjadi salah satu sebab kejayaan negara Matahari Terbit tersebut.

14. Ketika berada di Jepun bagi lawatan kerja ke Jepun minggu lalu, saya dapat lihat sikap cintakan ilmu bukan sahaja dari kalangan anak muda, malah golongan dewasa juga mempunyai sikap yang sama.

15. Malah, lihat sahaja tokoh-tokoh atau ahli perniagaan dunia yang berjaya seperti Bill Gates, beliau membaca 50 buah buku setahun. Ini bermakna, Bill Gates membaca sekurang- kurangnya sebuah buku seminggu. Elon Musk, seorang bilionair dan pemilik firma penerokaan aeroangkasa, SpaceX menghabiskan lebih 10 jam sehari membaca novel sains fiksyen bagi menambahkan pengetahuannya tentang roket.

16. Justeru, buku bukan sumber utama untuk masyarakat menambahkan ilmu, malah mencambahkan lagi pengetahuan mereka. Buku juga wadah untuk kita merakam, meluah dan menyebarkan nuansa budaya kita.

17. Sehubungan itu, buku sewajarnya mendapat perhatian khusus dan kedudukan yang istimewa di sisi masyarakat negara ini. Tokoh Islam, Ibn Khaldun misalnya, menganggap buku merupakan cerminan tamadun.

18. Banyak tokoh atau ilmuwan di zaman kegemilangan Islam bukan sekadar menjadi pembaca tetapi juga penulis tersohor yang menghasilkan banyak buku yang tidak ternilai. Sekadar menamakan antaranya, karya-karya yang dihasilkan al-Biruni, Ibnu Sina misalnya bukan hanya menjadi rujukan sarjana Islam tetapi juga bijak pandai di dunia Barat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Bagi menghasilkan buku yang berkualiti dan seterusnya memperkasakan industri ini, pihak pengarang, penerbit dan semua pemegang taruh dalam industri buku secara amnya perlu memainkan peranan masing-masing.

20. Usaha ini juga dapat menyokong pertumbuhan dan memupuk kelangsungan pembinaan negara bangsa melalui budaya membaca.

21. Saya amat gembira apabila mendapat tahu PBAKL yang diadakan pada tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila ia disertai 167 pempamer dari dalam dan luar negara.

22. Malah, ia juga dimeriahkan dengan pembukaan sebanyak 709 reruai (tempat mempamerkan produk) oleh pemain industri buku dan rakan strategik PBAKL, sekali gus menjadi ‘syurga’ bagi pencinta buku.

23. Paling memberangsangkan pesta buku kali ini turut menyasarkan kehadiran seramai 700 ribu hingga sejuta orang pengunjung secara bersemuka di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. PBAKL merupakan pesta buku terbesar negara yang mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku dan memupuk budaya membaca serta mewujudkan masyarakat celik ilmu.

25. Kerajaan akan terus menyokong PBAKL, pesta-pesta buku, serta sebarang aktiviti penerbitan buku sebagai perusahaan pendidikan dan budaya bagi memperkukuh budaya membaca Keluarga Malaysia.

26. Kementerian Pendidikan Malaysia, melalui MBKM dan agensi berkaitan hendaklah melaksanakan usaha yang lebih giat bagi memajukan lagi industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya.

27. Saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar menerapkan budaya membaca, bagi melahirkan masyarakat yang bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul.

28. Ketiadaan masa terluang bukan alasan untuk Keluarga Malaysia memberikan sokongan padu kepada PBAKL yang penganjurannya buat pertama kali dilakukan secara hibrid iaitu secara fizikal (bersemuka) dan juga secara dalam talian.

29. Langkah ini seharusnya memberi peluang dan akses lebih luas kepada masyarakat Keluarga Malaysia di negara ini untuk turut serta dalam PBAKL 2022, tidak kira di mana jua mereka berada.

30. Kegagalan kita mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejaskan dan menghancurkan usaha Kerajaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya tetapi juga ‘membunuh’ bukan hanya industri buku tetapi juga karyawan-karyawannya.

31. Akhir kata, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun 2022 kali ke-39.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...