Ahad, 26 Jun 2022

Majlis Perasmian Permulaan Pengorekan Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PERMULAAN PENGOREKAN TEROWONG ECRL DENGAN KAEDAH MESIN PENGOREK TEROWONG (TBM)

23 JUN 2022 | 2.30 PETANG
TAPAK PEMBINAAN TEROWONG BERKEMBAR GENTING

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian Permulaan Pengorekan Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menggunakan kaedah Mesin Pengorek Terowong (TBM) yang terbesar di Asia Tenggara.

2. Tahniah saya ucapkan kepada pihak pengurusan dan warga kerja Projek ECRL atas penganjuran majlis ini di tapak pembinaan Terowong Berkembar Genting.

3. Projek ECRL ini melibatkan jarak jajaran 665 kilometer (km) merentasi empat buah negeri merupakan satu pencapaian bersejarah negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Pelaksanaannya menelan kos RM50.27 bilion dan telah menyaksikan tahap kemajuan projek sebanyak 30 peratus sehingga bulan Mei lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.

5. Pengorekan Terowong Genting sepanjang 16.39 km ini merupakan satu-satunya daripada penggerudian 59 terowong menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup bagi terowong-terowong sebelum ini.

6. Mesin TBM buatan China seberat 1,600 tan ini mampu menembusi Banjaran Titiwangsa di sepanjang kawasan Bukit Tinggi menghubungkan Bentong, Pahang dengan Terminal Bersepadu Gombak , yang menjadi pintu masuk utama ke ibu negara.

7. Pembinaan Terowong Berkembar Genting ini adalah antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan ‘jambatan darat’ atau landbridge bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Pengorekan Terowong Berkembar Genting ini akan selesai dalam tempoh 2 1/2 tahun hingga 3 tahun, menjadikannya terowong rel terpanjang di rantau ini.

9. Penggerudian terowong bermula dengan penembusan Terowong Paka sepanjang 1.1 kilometer pada 9 April 2021, enam bulan lebih awal berbanding jadual asal.

10. Tujuh buah terowong di Terengganu dan Pahang yang berukuran antara 190 meter hingga 1.1 kilometer setiap satu, telahpun selesai.

11. Pengorekan Terowong Kuantan sepanjang 2.8 kilometer antara Dungun di Terengganu dan Mentakab di Pahang pula dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

12. Kira-kira 128 kilometer jajaran ECRL akan melibatkan penyediaan jambatan atau jajaran bertingkat untuk mengelak gangguan kepada hidupan liar dan risiko berlaku banjir akibat musim tengkujuh.

13. Sebuah lagi struktur utama yang turut dibina di bawah fasa pembinaan di Pahang adalah jambatan ‘Super Major Bridge’ sepanjang 3.88 kilometer menyeberangi Sungai Kuantan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Projek ECRL ini akan mempunyai 20 buah stesen iaitu 10 buah stesen penumpang dan selebihnya stesen gabungan penumpang dan kargo, menghubungkan bandar raya, bandar-bandar, taman-taman perindustrian dengan lebih efektif serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

15. Perkhidmatan ECRL ini yang berkelajuan 160km sejam, juga dihubungkan dengan LRT Kelana Jaya Line di ITT Gombak, sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan kepada empat jam berbanding purata tujuh jam melalui jalan raya atau sehingga 12 jam ketika musim perayaan.

16. Dijangka beroperasi pada bulan Januari 2027, ia akan menawarkan jalinan pengangkutan lebih moden, selamat, dan efisien ke Pantai Timur.

17. Sehubungan itu, saya meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan ECRL yang amat berpatutan seperti kadar tambang perkhidmatan KTM ETS yang mesra rakyat.

18. Jajaran ECRL ini juga dapat menghubungkan dengan perkhidmatan KTMB di tiga buah stesen pertukaran iaitu Temerloh di Pahang, Serendah dan Jalan Kastam di Selangor.

19. Justeru, kemasukan ‘Pintasan Serendah’ sebagai sebahagian dari skop Projek ECRL bagi perkhidmatan KTMB, akan melengkapkan penubuhan hab kargo nasional atau transhipment hub di Serendah.

20. Perkhidmatan ECRL dan KTMB juga bakal membentuk jajaran rel bersepadu menghubungkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pelabuhan Pulau Pinang; Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Pelabuhan Kuantan, serta Iskandar Malaysia dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di selatan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Kerajaan juga difahamkan bahawa pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan Projek ECRL dari China EXIM Bank.

22. Sehubungan itu, sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara MRL dan China Communications Construction Company (CCCC) sedang dirancang penubuhannya bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

23. Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang.

24. Projek ECRL ini menyaksikan penglibatan lebih daripada 1,500 buah syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding.

25. Ini sejajar dengan persetujuan antara MRL dan CCCC untuk melantik subkontraktor dan pembekal tempatan bagi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kerja-kerja sivil projek ini yang dianggarkan bernilai sehingga RM10 bilion.

26. Setakat bulan April 2022, lebih RM7 bilion nilai kontrak kerja-kerja sivil telah ditawarkan kepada subkontraktor dan pembekal tempatan bagi projek ECRL di negeri- negeri Pantai Timur.

27. Pihak CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor kecil yang bersaiz Gred G1- G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka.

28. Sebuah ‘Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL’ telah ditubuhkan bagi memantau dan memastikan penyertaan efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Projek ECRL ini berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan yang berkemahiran dalam bidang industri rel melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI- ECRL).

30. Oleh itu warga tempatan disarankan supaya merebut peluang menjalani program latihan teknikal PLKI-ECRL yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 5,000 anak muda dari Pantai Timur.

31. Seramai 1,800 pelatih akan diserapkan bagi fasa pembinaan ECRL dan baki 3,200 pelatih untuk fasa pengendalian operasi.

32. Justeru, Kerajaan yakin PLKI-ECRL yang dilaksanakan bersama-sama rakan kongsi seperti Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), akan berjaya melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang rel.

33. Keyakinan ini disokong oleh sasaran keperluan 23,000 tenaga kerja semasa tempoh puncak pembinaan projek yang dijangka bermula pada tahun 2023.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

34. Projek ECRL ini merupakan antara elemen penting yang akan menyempurnakan sektor pengangkutan negara dan seterusnya memberi keselesaan kepada Keluarga Malaysia.

35. Menjadi hasrat Kerajaan supaya projek ini menjadi pencetus perubahan atau “game changer” dan dapat disiapkan secepat yang boleh bagi membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negara.

36. Akhir kata, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor atas sokongan dan kerjasama erat dalam membangunkan Projek ECRL ini.

37. Dengan l afaz Bismillahirrahmanirrahim, saya menyempurnakan Majlis Perasmian Permulaan Pengorekan Terowong ECRL yang menggunakan kaedah TBM.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Khamis, 23 Jun 2022

Penjelasan Mengenai Subsidi Minyak Masak dan Pengumuman Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2

 

NOTA PERCAKAPAN
YAB PERDANA MENTERI


PENJELASAN MENGENAI ISU
SUBSIDI MINYAK MASAK DAN PENGUMUMAN BAYARAN BANTUAN KELUARGA MALAYSIA (BKM) FASA 2


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Saya ingin menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berhubung isu subsidi minyak masak.

2. Untuk makluman seluruh Keluarga Malaysia, Kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak, dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun 2022 berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.

3. Minyak masak yang disubsidi oleh Kerajaan ialah sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55 ribu tan metrik sebulan.

4. Subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kilogram (kg) sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9.00 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40. Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007.

5. Sewaktu pandemik COVID-19, Kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1 kg, 2 kg, 3 kg dan 5 kg, pada Ogos 2021. Usaha ini bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik COVID-19.

6. Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan.

7. Walaubagaimanapun, Kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

8. Sehubungan itu, Kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.

9. Untuk itu, subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan dan Kerajaan yakin subsidi sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia.

BANTUAN KELUARGA MALAYSIA (BKM)

10. Pada 1 Jun yang lalu, saya telah mengumumkan bahawa bantuan tunai akan diberikan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat cabaran kos sara hidup apabila Kerajaan tidak lagi memberikan subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang makanan yang lain.

11. Maka hari ini saya akan mengumumkan:

i. Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40;

ii. Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022. Bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana Kerajaan;

iii. Mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, Kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang;

iv. Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing- masing. Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta.

v. Bayaran ini akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang;

vi. Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

12. Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi dan akan disalurkan seperti jadual (lihat lampiran).

13. Semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

14. Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
22 JUN 2022

Selasa, 21 Jun 2022

Majlis Perasmian Minggu TVET Negara Tahun 2022

 


TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
MINGGU TVET NEGARA TAHUN 2022

20 JUN 2022 (ISNIN)
10.00 PAGI
POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH, SHAH ALAM, SELANGOR

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian Minggu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara 2022.

2. Terlebih dahulu setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) kerana sudi menjemput saya merasmikan program yang julung kali diadakan ini.

3. Bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal di negara maju adalah tinggi. Di Jerman misalnya, TVET dianggap salah satu sistem pendidikan utama, sehingga 70 peratus pelajarnya memasuki aliran vokasional.

4. Senario ini juga terdapat di negara-negara maju di Asia seperti Korea Selatan yang berjaya bangkit dengan pantas daripada kemusnahan perang untuk muncul sebagai kuasa besar ekonomi hasil pengukuhan pendidikannya termasuk bidang TVET.

5. Dengan menjadikan kedua-dua negara ini sebagai contoh, amat signifikan untuk Kerajaan menetapkan TVET sebagai antara perkara yang perlu diberikan keutamaan bagi memacu pembangunan ekonomi negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. TVET juga dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe- 12) kerana sudah sampai masa TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan seperti mana negara maju lain.

7. Justeru, pelbagai strategi telah digariskan termasuk menangani isu pertindihan dan merombak tadbir urus TVET, mempromosikan jenamanya selain meningkatkan kualiti program dan mewujudkan pangkalan data.

8. Kerajaan turut memperkukuhkan penawaran program berorientasikan industri dan memperhebatkan penglibatan industri secara aktif bagi menyediakan graduan yang menepati keperluan mereka.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Kesedaran orang ramai terhadap pekerjaan sektor TVET yang memerlukan kemahiran spesifik dan menawarkan sumber pendapatan tinggi sudah meningkat tetapi belum mencapai tahap yang disasarkan.

10. Dalam usaha memperkasakan TVET, penjenamaan dan reputasinya perlu dipertingkatkan dan ini memerlukan usaha lebih jitu bagi mengukuhkannya secara holistik.

11. Sehubungan itu, anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibu bapa, belia dan industri terhadap TVET.

12. Terdapat banyak platform media sosial yang boleh dimanfaatkan secara optimum bagi mempromosikan TVET termasuk memaparkan kejayaan graduan dan alumni TVET, sekaligus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan.

13. Saya juga menyeru pihak industri supaya menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan TVET kepada Keluarga Malaysia seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka.

14. Saya percaya, langkah ini dapat meningkatkan daya tarikan ramai, sekali gus menjadikan TVET pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti mana negara maju yang lain.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Seperti YB Dato’ Sri Dr Noraini sebutkan tadi, Agenda Pemerkasaan TVET yang diterajui Majlis TVET Negara (MTVET) menggariskan beberapa inisiatif yang berimpak besar dan strategik.

16. Antara yang telah berjaya direalisasikan ialah pewujudan Hab Kolaborasi TVET (TCH) dan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC atau Government-Industry TVET Coordination Body).

17. Hari ini, satu lagi pencapaian bakal dicipta, iaitu pelancaran Pelan Penjenamaan TVET Nasional, dan penganjuran Sambutan Minggu TVET Negara yang merupakan antara tindakan dalam Pelan Penjenamaan TVET Nasional.

18. Begitu juga dengan pemilihan tarikh 2 Jun sebagai Hari TVET Negara yang wajar disambut setiap tahun bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET. Tarikh itu juga bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar, yang merupakan institusi penyedia TVET terawal negara sejak 1969.

19. Saya difahamkan sambutan Minggu TVET Negara tahun ini telah bermula sejak Sabtu lepas dengan pengisian yang bermanfaat seperti seminar dan forum melibatkan pelbagai kementerian, penyedia TVET awam dan swasta serta pihak industri.

20. Selain itu, program bersama Ikon TVET dan pameran berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya dalam TVET turut disediakan, termasuk temuduga mencari kerja secara terbuka.

21. Saya ingin melihat sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025, seperti yang ditetapkan dalam RMKe-12.

22. Sehubungan itu, aspek akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET harus ditambah baik. Pendedahan perlu dilaksanakan seawal usia muda supaya anak-anak kita lebih celik tentang potensi laluan kerjaya TVET.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai bentuk intervensi bagi menyediakan peluang pendidikan yang lebih luas untuk Keluarga Malaysia, termasuk mengadakan Program Penajaan Pendidikan.

24. Secara umumnya, terdapat beberapa strategi penajaan pendidikan yang telah dilaksanakan seperti pinjaman pendidikan, pinjaman boleh ubah, dermasiswa, biasiswa dan bantuan kewangan.

25. Dalam konteks program hari ini, keprihatinan Kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, di mana 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma.

26. Bagi tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 171,412 program TVET di peringkat Diploma dan Sarjana Muda telah ditawarkan.

27. Bagi meningkatkan motivasi dan galakan pelajar untuk memilih bidang TVET, Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Dermasiswa B40 TVET, khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di IPTA bawah seliaan KPT tahun ini.

28. Pengambilan pertama akan melibatkan 1,000 orang pelajar dan Kerajaan menjangkakan program ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM36.41 juta bagi setiap pengambilan.

29. Saya yakin, program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET. Insya- Allah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

30. Saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada KPT dan JPPKK serta semua pihak yang menjayakan sambutan Minggu TVET Negara ini. Semoga sambutan ini akan menjadi titik tolak kepada usaha mencorak semula landskap TVET negara agar setanding dengan negara maju yang lain.

31. Saya berharap pada tahun-tahun akan datang, sambutan Minggu TVET Negara dilakukan secara bergilir-gilir dalam kalangan 11 kementerian penyedia TVET yang lain.

32. Tokoh-tokoh luar negara juga boleh diundang untuk berkongsi pengalaman mereka dalam memperkasakan TVET. Semua pihak berkaitan juga perlu menggunakan platform MTVET secara lebih aktif.

33. Dengan hasrat tersebut, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya mengisytiharkan 2 Jun sebagai Hari TVET Negara dan merasmikan Sambutan Minggu TVET Negara Tahun 2022.

34. TVET pilihan Keluarga Malaysia!

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM) Residensi SkyAwani 3

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PENYERAHAN KUNCI RESIDENSI WILAYAH KELUARGA MALAYSIA (RWKM) RESIDENSI SKYAWANI 3

18 JUN 2022 | 3.00 PETANG JALAN SANTUARI, SETAPAK
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berkumpul petang ini pada majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (Residensi SkyAwani 3).

2. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kerana menjemput saya ke majlis ini yang penuh bermakna bagi Keluarga Malaysia terutamanya yang berpendapatan sederhana rendah atau M40 untuk memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Residensi SkyAwani 3 dibina di atas tanah berkeluasan 4.55 ekar dan menawarkan tiga blok bangunan setinggi 52 tingkat yang menempatkan 1,905 unit kediaman pada harga RM300,000 seunit.

4. Setiap unit mempunyai tiga buah bilik tidur, dua buah bilik air dengan keluasan 800 kaki persegi dan sebuah petak tempat letak kereta berbumbung.

5. Kediaman mampu milik ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, bubble jet jaccuzzi, gelanggang bola keranjang dan dewan serbaguna.

6. Saya difahamkan, pemaju turut menyediakan kawasan permainan kanak-kanak yang hanya boleh didapati dalam projek kediaman mewah yang harganya melebihi RM500,000 seunit.

7. Ini merupakan satu nilai tambah (added value) yang dilakukan oleh pemaju bagi penduduk yang mendiami kediaman mampu milik ini untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

8. Selain itu, Residensi SkyAwani 3 mempunyai SkyBridge yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai SkyBridge Kediaman Tertinggi di Malaysia iaitu 170.55 meter.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Semua unit Residensi SkyAwani milik SkyWorld menerima pengesahan kualiti standard QLASSIC dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kategori rumah mampu milik di Malaysia.

10. Ini bermakna kualiti kemahiran kerja pembinaannya telah mencapai piawaian yang ditetapkan oleh CIDB melalui prinsip pemeriksaan kali pertama selaras dengan objektif “Do Things Right the First Time and Every Time”.

11. SkyWorld telah melancarkan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 1 hingga 5 dengan unit kediaman berjumlah 6,236 yang sudah terjual sehingga tahun ini.

12. Syarikat SkyWorld juga merancang untuk membangunkan unit kediaman siri Awani bagi menyahut seruan Kerajaan ke arah menyediakan sejumlah 500,000 unit rumah mampu milik dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

13. Kerajaan menyambut baik komitmen pihak pemaju dalam menjayakan program ini dan membantu merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk warga kota, khasnya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Sehingga bulan Mei 2022, sejumlah 67,944 unit kediaman di bawah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia, yang melibatkan 104 projek di Wilayah Persekutuan telah mendapat kelulusan pembinaan.

15. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 97 buah projek adalah di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan empat projek di Labuan.

16. Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut memperkenalkan program baharu, iaitu rumah untuk disewa sebagai transit yang dikenali sebagai Council Home.

17. Ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 menyewa mengikut kemampuan sebelum mampu membeli rumah sendiri.

18. KWP menyasarkan pembinaan sebanyak 5,000 unit Council Home dalam tempoh 5 tahun antara tahun ini hingga 2027.

19. Sehingga bulan April tahun ini, sebanyak 10 tapak telah dikenal pasti untuk pembinaan Council Home di Wilayah Persekutuan dan projek yang siap sepenuhnya adalah di Sungai Udang, Segambut berjumlah 1,251 unit.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Kerajaan sentiasa memastikan kediaman yang ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa serta persekitaran yang selesa, kondusif, mesra keluarga serta praktikal selain mampu dimiliki sejajar dengan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.

21. Justeru Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) telah menggariskan langkah-langkah segera dan jangka panjang untuk merealisasikan hasrat tersebut.

22. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memperkenalkan program Home Ownership Programme (atau HOPE) bagi melihat ekosistem lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia untuk memiliki rumah sendiri.

23. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada SkyWorld Development Group, Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program hari ini.

24. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani3.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PERAYAAN JUBLI EMAS FAKULTI UNDANG-UNDANG, UNIVERSITI MALAYA

17 JUN 2022 (JUMAAT) | 3:00 PETANG DEWAN TUNKU CANSELOR, UNIVERSITI MALAYA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama merafak kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, dapat kita berkumpul di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) bagi menghadiri Perasmian Perayaan Jubli Emas, Fakulti Undang- Undang Universiti Malaya.

2. Sesungguhnya, majlis ini amat bermakna bukan hanya kepada warga Fakulti Undang-Undang UM, malah kepada diri saya dan seluruh warga alumni fakulti kita. Ia merupakan manifestasi kejayaan Fakulti Undang-undang dalam melahirkan tokoh-tokoh yang mencorakkan landskap perundangan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Lima puluh tahun yang lalu, negara menyambut kelahiran sebuah institusi pendidikan tinggi yang penting dengan wujudnya Fakulti Undang-undang di UM. Pada awalnya, bidang pendidikan undang-undang sepenuhnya mengikut acuan Barat. Sistem pendidikan ini telah dijadikan milik kita setelah berjaya mengadaptasikannya.

4. Walaupun kita masih negara Common Law, namun prinsip-prinsip, doktrin, pemakaian dan pelaksanaan undang-undang telah dibuat berdasarkan semangat Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.

5. Perkembangan ini merupakan sesuatu yang signifikan kerana jika dibandingkan dengan disiplin ilmu lain, ilmu undang-undang mempunyai ikatan yang sangat rapat dengan ‘fabrik sosial’.

6. Kita berterima kasih kepada pelopor-pelopor pendidikan undang- undang di zaman penubuhan fakulti seperti Profesor Ungku Abdul Aziz, Dato’ Rajasooria, Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim, Profesor Tan Sri Visu Sinnudurai, Dato’ Nik Abdul Rashid dan ramai lagi yang telah berusaha dan menyumbang kepada pendidikan undang-undang serta perkembangan perundangan di negara kita.

7. Marilah kita, sama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat mereka yang telah meninggalkan kita semua, dan bertafakur sejenak. Al-Fatihah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Hasil daripada wawasan dan kebijaksanaan mereka, penubuhan Fakulti Undang-Undang UM dilihat berjaya menjadi pemangkin kepada bidang guaman, badan kehakiman dan seterusnya pembangunan negara.

9. Fakulti Undang-Undang UM telah membuka pintu buat pertama kalinya kepada pelajar-pelajar pada bulan September 1972, dengan matlamat untuk membina negara melalui profesion undang-undang yang dididik dalam negara.

10. Saya merupakan salah seorang mahasiswa undang-undang daripada kohort kesembilan yang menjejak kaki ke universiti ini pada tahun 1980. Kemudian saya menjadi pengamal undang- undang dan bertugas sebagai peguamcara dan peguambela di Mahkamah Tinggi Malaya.

11. Ini adalah satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Saya dapat melihat rakan-rakan seangkatan saya turut hadir pada petang ini. Pengalaman menjadi sebahagian daripada fakulti ini, merupakan detik manis buat kita semua.

12. Saya masih ingat, mahasiswa fakulti undang-undang ketika itu, mewakili pelbagai latar belakang, pelbagai demografi dari kampung dan bandar, dari taraf ekonomi yang berbeza-beza menimba ilmu di bawah satu bumbung.

13. Hari ini, kita dapat menyaksikan kejayaan Alumni Fakulti Undang- Undang UM dalam badan kehakiman, sektor perundangan, pentadbiran negara, politik tanah air, badan korporat, pendidikan negara, institusi antarabangsa dan lain-lain.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Sebenarnya tanpa kita sedari tiga tiang seri yang penting kepada sistem demokrasi negara dipimpin oleh Alumni Fakulti Undang- Undang UM;

● Badan Eksekutif dipimpin oleh saya sebagai Perdana Menteri, dan saya adalah produk Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

● Badan Kehakiman diketuai oleh Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara yang merupakan produk Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

● Badan Legislatif diketuai oleh Yang Berhormat Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga adalah produk Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

15. Malah, badan perundangan, Jabatan Peguam Negara diterajui oleh Yang Berbahagia Tan Sri Idrus Harun juga produk Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

16. Ini adalah satu pencapaian dan sejarah bagi Fakulti Undang- Undang Universiti Malaya dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Saya berharap kejayaan Fakulti Undang- Undang UM melahirkan ramai profesional yang hebat dan ternama tidak hanya ternoktah di sini, sebaliknya terus cemerlang untuk melakar sejarah dalam dan luar negara.

17. Saya harap ini menjadi rangsangan kepada semua adik-adik pelajar Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang hadir pada hari ini untuk meneruskan legasi Fakulti Undang-Undang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Kerajaan telah dan akan melaksanakan transformasi undang- undang secara signifikan. Saya telahpun mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang yang telah lapuk.

19. Transformasi undang-undang ini perlu dilakukan segera kerana keadaan telahpun berubah dan undang-undang juga perlu bergerak dan berubah mengikut keadaan semasa . Penambahbaikan ini juga akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

20. Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun. Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa.

21. Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 misalnya, hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian.

22. Seperti yang kita sedia maklum, beberapa langkah proaktif kerajaan dalam memperkasakan undang-undang di Malaysia, antaranya;

● Cadangan Pemansuhan hukuman mati mandatori

Ramai yang keliru tentang pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, seolah-olah hukuman mati telah dihapuskan.

Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah tersebut dijatuhkan hukuman mati ataupun hukuman pilihan yang lain.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Maidah, Ayat 32:
Yang bermaksud: “Dan sesiapa yang menyelamatkan nyawa seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan kehidupan manusia semuanya.”

● RUU Anti Lompat Parti

Tindakan melompat parti, terutamanya pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 telah merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

Sehubungan itu, Rang Undang-undang ini adalah mustahak untuk menjamin kestabilan dan integriti politik selepas PRU15. Penyediaan Rang Undang-Undang ini oleh Jawatankuasa Pilihan

Khas telah berada di peringkat akhir dan bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Julai nanti.

● RUU Dana Sumbangan Politik

Usaha memantapkan integriti politik turut merangkumi aspek- aspek lain termasuk pengawal seliaan dana sumbangan politik. Pengawal seliaan ini boleh meningkatkan ketelusan sumbangan politik di negara kita.

Ini dapat mengurangkan risiko rasuah, serta apa-apa penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengannya.

● Doktrin Pengasingan Kuasa dan Hubungan Antara Eksekutif dan Kehakiman

Dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, tiga institusi penting menjadi tiang seri iaitu badan Legislatif atau Parlimen, Eksekutif atau kerajaan dan Kehakiman. Ketiga-tiga institusi ini mempunyai peranan masing-masing dan kita perlu menghormati setiap badan ini.

Setiap dasar yang digubal oleh Kerajaan berpaksikan roh dan semangat kebersamaan dengan mengambil kira kepentingan setiap agama, kaum dan seluruh Keluarga Malaysia.

Begitu juga undang-undang yang dilulus oleh Dewan Rakyat, ianya dibahas dengan roh dan semangat yang sama oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Justeru, badan Kehakiman perlu mengambil roh dan semangat yang sama ketika membuat intepretasi kepada undang-undang berkenaan.

Sebagai seorang yang berlatar belakangkan undang-undang, saya menghormati doktrin pengasingan kuasa di antara Eksekutif, Legislatif, dan Kehakiman.

Dalam hal ini, Kerajaan memberi jaminan bahawa kebebasan badan kehakiman dan legaslatif akan terus terpelihara.

● Pembaharuan Parlimen

Bagi memastikan badan legaslatif dapat berfungsi dengan sempurna, Kerajaan sedang membantu institusi ini untuk membuat transformasi.

Sebagai contoh, kerajaan telahpun melakukan perubahan dalam Parlimen apabila kita menubuhkan 16 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berbanding hanya lima sahaja sebelum ini.

Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan pada tahun 1993 untuk mengurus pentadbiran dan kewangan Parlimen akan diperkenalkan semula bagi memperkasakan peranan Parlimen.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Saya mendengar dan mengambil maklum hajat PARFUM untuk menubuhkan klinik bantuan guaman. Saya amat menyokong cadangan murni ini, kerana ia senada dengan misi saya dan kerajaan untuk sentiasa membantu Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan guaman.

24. Tahniah kepada PARFUM kerana prihatin dengan Keluarga Malaysia yang tidak berkemampuan untuk menanggung kos khidmat guaman. Justeru, sukacita saya mengumumkan;

● Penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim

Yayasan ini ditubuhkan bersempena dengan nama Tan Sri Ahmad Ibrahim sebagai menghargai sumbangan tokoh perundangan yang bukan hanya disegani dan diiktiraf di Malaysia bahkan juga di peringkat antarabangsa.

Untuk merealisasikan hasrat murni ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim.

● Mewujudkan Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia

Tabung kebajikan ini akan membantu proses pembelajaran para siswazah Fakulti Undang-Undang UM daripada keluarga B40 dengan lebih lancar, demi mencapai kejayaan akademik yang lebih cemerlang.

Untuk itu, hari ini, saya mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 ribu sebagai dana permulaan Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia.

● Pembangunan semula ASEAN Legal Information Portal

ASEAN Legal Information Portal akan dikenali dengan nama baharu iaitu ASEAN Law Guide.

Saya juga ingin mengumumkan, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500 ribu bagi merealisasikan tujuan ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada PARFUM, kerana berjaya menganjurkan beberapa program yang bukan hanya memberi manfaat kepada ahli dan bekas graduan tetapi juga kepada mahasiswa di fakulti ini.

26. PARFUM adalah wadah untuk mahasiswa dan golongan yang bergiat secara profesional dalam dunia perundangan, sama ada dalam sektor awam atau swasta.

27. Akhir kata, saya mendoakan agar Fakulti Undang-Undang UM akan terus maju dan berkembang pesat untuk membina tenaga pemikir serta pelaksana undang-undang negara untuk tempoh lima puluh tahun yang akan datang.

28. Dengan hasrat itu, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim merasmikan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun, Fakulti Undang- Undang, Universiti Malaya.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa 1

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN PEMBUKAAN MRT LALUAN PUTRAJAYA FASA SATU

16 JUN 2022 | 10.00 PAGI STESEN MRT KAMPUNG BATU KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Terlebih dahulu, saya ingin melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini untuk merasmikan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu.

2. Syabas dan tahniah kepada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi-agensi Kerajaan yang lain kerana bekerjasama menjayakan projek ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Sektor pengangkutan merupakan pemacu pertumbuhan negara dan penyediaan sistem pengangkutan yang berkualiti amat penting bagi mencapai aspirasi negara maju.

4. Negara maju bukan hanya mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh, malah turut memiliki perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan yang efisien bagi meningkatkan gaya hidup rakyatnya.

5. Selaras dengan teras Dasar Pengangkutan Negara, sememangnya menjadi hasrat utama Kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang selamat, cekap, mampan dan boleh dipercayai, bagi Keluarga Malaysia.

6. Penyediaan pengangkutan juga akan dipertingkatkan supaya Keluarga Malaysia menikmati akses lebih baik kepada perkhidmatan ketersambungan yang lancar seperti dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

7. Ini juga merupakan antara agenda utama yang dilaksanakan Kerajaan bagi memulihkan dan menstabilkan ekonomi negara serta memastikan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Lima tahun dahulu, MRT Laluan Kajang telah dibuka untuk menghubungkan kawasan Sungai Buloh ke Kajang, Selangor dan projek rangkaian rel berkaitan kini semakin diperluas dan dimanfaatkan ramai penduduk Lembah Klang.

9. Kemudahan laluan MRT Putrajaya ini, misalnya akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

10. Rakyat juga akan lebih mudah bergerak dan berulang-alik ke tempat kerja, bersosial dan mengakses kemudahan awam yang lain.

11. Melalui pembukaan laluan ini, Kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

12. Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT,f BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

14. Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT.

15. MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa, menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang 2 juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan.

16. MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.

17. Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk Pusat Bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX).

18. MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer ini mempunyai 36 buah stesen terdiri daripada 27 buah stesen bertingkat dan sembilan buah stesen bawah tanah. Jumlah keseluruhan bagi pembinaan jajaran ini adalah sebanyak RM30.53 bilion.

19. Pihak MRT juga kini dalam perancangan untuk menambah empat lagi stesen baharu pada masa akan datang agar akses kepada pengangkutan awam dapat terus ditingkatkan.

20. Pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya dijangka mencatat bilangan awal penumpang harian melebihi 104,000 orang. Ini diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Bagi perasmian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu hari ini, kemudahan ini akan membolehkan para pengguna menikmati pertukaran perkhidmatan yang lancar ke MRT Laluan Kajang melibatkan platform aras sama di stesen Kwasa Damansara.

22. Bas perantara dan bas GoKL juga akan disediakan di stesen bagi menyambungkan destinasi pertama dan terakhir.

23. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek yang bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

24. Dengan hasrat ini, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, menyempurnakan perasmian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Isnin, 20 Jun 2022

KUNDASANG & PORING SABAH (MEMORI 2022)

 


Kundasang Sabah antara kawasan yang sering dilawati pelancong memandangkan kawasan ini yang agak sejuk dan cantik seolah-olah berada di luar negara yang beriklim sejuk. Banyak tempat menarik yang anda boleh lawati di sini. Tempat penginapan juga banyak dan kebanyakannya didirikan di kawasan yang cantik di kawasan bukit. Di sini juga terletaknya Taman Negara Kinabalu iaitu kaki bukit Gunung Kinabalu yang menjadi mercu tanda bagi Negeri Sabah. Berikut antara tempat dikunjungi:

1. Pasar Kraftangan Pekan Nabalu

Jika anda ingin mencari cenderahati yang sesuai dibuat ole-ole dari Sabah, anda bolehlah ke Pasar Kraftangan Pekan Nabalu. Sebelum sampai ke Pekan Kundasang, anda akan menemui pasar ini di Pekan Nabalu. Antara cenderamata yang terdapat di sini adalah fridge magnet, keychain, t-shirt dan banyak lagi yang boleh anda berikan kepada orang tersayang sebagai tanda ingatan. Bagi anda yang nak berjimat, inilah lokasi membeli-belah cenderamata khas untuk anda kerana harga-harga yang ditawarkan di sini adalah lebih murah daripada di tempat lain. Bolehlah luangkan sedikit masa untuk membeli-belah di sini sewaktu anda bercuti di Kundasang nanti.

Tetapi kami tidak singgah di sini, kerana semasa itu kelihatan banyak kenderaan dan ramai orang membeli-belah barang di situ dan risau berlaku jangkitan covid 19 di musim pandemik serta kes masih tinggi lagi di sana.



2. Taman Negara Kinabalu

Taman Kinabalu merupakan sebuah taman negara yang telah diwartakan pada 2002. Taman Kinabalu dihiasi dengan Gunung Kinabalu yang tersergam dengan ketinggian 4,095 meter iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara. Taman Kinabalu ini juga menjadi pintu masuk bagi pendaki Gunung Kinabalu.

Taman tertua negeri Sabah ini menawarkan banyak aktiviti menarik bagi para pelawat, antaranya adalah berjalan menuju ke kawasan air terjun yang indah, memerhati burung, berbasikal, merentas hutan ataupun sekadar bersantai-santai bersama keluarga sambil menikmati kehijauan alam sekeliling di bawah pondok-pondok yang disediakan.

Tetapi laluan jalan masuk kenderaan ke tempat tertinggi kawasan ini tidak dapat dilalui oleh kenderaan awam, hanya kenderaan khas sahaja dibenarkan melalui jalan tersebut, kerana masih tertakluk S.O.P pandemik covid 19 ketika itu.





3. Kolam Air Panas Poring

Dalam cuaca yang sejuk di Kundasang Poring, memang sangat syok kalau dapat berendam dalam kolam air panas. Oleh sebab itu, jangan lepaskan peluang anda untuk singgah ke Kolam Air Panas Poring yang telah dibina oleh penjajah Jepun ini. Kolam Air Panas Poring bukanlah kolam air biasa, kolam air panas ini kaya dengan kandungan sulfur yang dikatakan baik untuk kesihatan dan dapat memberikan kesegaran badan serta melegakan sendi yang lenguh. Kawasan sekitar air panas ini cantic kerana dikelilingi dengan pohon-pohon bamboo.

Bukan setakat kolam air panas sahaja ada di sini, malah terdapat 2 buah kolam lain yang diairi dari air gunung. Ataupun sekiranya anda inginkan mandian yang lebih privasi bersama keluarga, anda boleh memilih untuk bermandian di kolam tertutup yang disediakan.

Jumlah pengunjung dihadkan dalam bilangan tertentu dan sebuah tempat kolam ditutup kerana bagi mengelakkan bersentuhan semasa pandemik covid 19 ketika ini.


4. Gerai Sayur Tepi Jalan Kundasang

Antara tugu yang terkenal di Kundasang ini adalah arca ‘Sayur Picai Gergasi’ di persimpangan Mesilou. Dari arca itu sahaja sudah dapat gambaran sinonimnya tempat ini dengan sayur-sayuran. Maka tidak hairanlah jika gerai sayur di tepi Jalan Kundasang ini sering disinggahi penduduk tempatan mahupun pelancong.

Gerai sayur yang terletak di tepi jalan Pekan Kundasang sememangnya terkenal dengan sayur-sayuran yang cukup segar. Juga terdapat buah-buahan seperti strawberi dan buah markisah serta keropok yang dijual di sini. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

Anda boleh shopping sayur pada hari terakhir percutian anda di sini agar ia masih segar sekembalinya anda ke rumah nanti.

Ada juga beberapa buah gerai tidak beroperasi mungkin faktor ekonomi terkesan akibat pandemik covid 19.




5. KUNDASANG SELFIE GARDEN

Seperti nama taman ini, Kundasang Selfie Garden khas untuk anda mengambil gambar selfie dan juga wefie sebagai kenangan anda di Kundasang, Ranau.

Taman ini baru sahaja siap dibina dan dibuka untuk umum, jadi ia mungkin baru untuk anda.

Untuk memasuki dan mengambil gambar dalam taman ini bayaran masuk (seorang) dikenakan sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.





6. Homestay Di Pekan Kundasang

Terasa lemas dalam kehidupan yang  bergerak terlalu pantas untuk mengejar keinginan materialistik yang tiada penghujungnya? Cuba berhenti seketika, tarik nafas dan relaks. Bayangkan sebuah dunia tanpa tekanan, dikelilingi oleh alam semula jadi yang penuh kesegaran, di sinilah di mana jiwa anda akan mendapat kebahagiaan yang sebenar.

Namun begitu, imaginasi bukanlah solusinya, jadikan ketenangan ini satu realiti dengan merancang sebuah percutian di dalam keindahan asli yang memukau. Di mana? Salah satunya terdapat di sebuah pekan kecil di Sabah iaitu Kundasang.

Di sini, anda dapat menikmati penginapan di antara gunung dalam suhu yang dingin, dikelilingi oleh pohon-pohon yang berbuah segar dan bunga-bungaan yang penuh warna-warni. Sejuk mata, sejuk hati, percutian di Kundasang adalah terapi yang dicari.

Kuasa kedamaiannya yang luar biasa menjadikan Kundasang cukup terkenal dalam kalangan warga kota yang mencari ketenangan.

Pada tahun 2019 kami juga ada mengunjungi tempat ini cuma keadaannya berbeza sebelum dan semasa pandemik covid 19 terjadi. Boleh ikut link ini https://izuafdie83.blogspot.com/2021/01/kundasang-poring-sabah-memori-2019.html

Video tiktok di link bawah..

https://youtube.com/shorts/FJ5s2Ee7j50?feature=share

https://youtube.com/shorts/CdyLpKNjAEI?feature=share

https://youtube.com/shorts/GUzc-WgnX90?feature=share

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...